25 October 2009

13 October 2009

JOG...GING...JOG

Fuuhhhh..... Penatnya...
Inilah aktivitiku dikala sebelum senja merangkak tiba. Berjoging. Aku akan berjoging setiap petang jika tiada aral yang menghalang. Di tepi tasik kejuruteraan tumpuanku. Bagi aku, sudah menjadi kebiasaan berjoging di waktu petang. Ia adalah untuk meningkatkan kekuatan stamina dan kesihatan. Aku adalah bekas atlet dan olahragawati sekolah dan pernah ditabalkan sebagai atlet terbaik daerah. Tapi, itu semua hanya tinggal memori yang terpahat kekal dalam lubuk hati. Namun, minatku kepada olahraga tidak luntur biarpun aku diletakkan sebagai seorang pelajar sastera. Realitinya sekarang aku tidaklah seaktif dulu. Natijahnya, Hang Tuah. Akanku adun dan uli kisahmu menjadi resepi baru. Hang Tuah@Olahragawan???

12 October 2009

ILHAM OH... ILHAM!!!


Setelah sekian lama aku berfikir, merenung, melihat, mengamati, mencari akhirnya aku berjaya mendapat idea untuk melakar dan membuat coretan berhubung dengan Hang Tuah. Sekali pandang dirasakan agak mudah. Namun, pabila dipandang kedua kalinya naluri akalku menidakkannya. Buntu. Ungkapan yang sukar diterjemah jika tidak dituruti dengan ulas-ulas buah fikiran yang ranum. Realitinya kini, ilham berkunjung tiba melengkapi ruangan sunyi fikiranku. Tuah. Nama yang sering menjadi igauan siang dan malam. Keterlibatannya dalam bidang sukan olahraga menjadi tumpuan fokusku.....

03 October 2009

kasih seekor monyet


sekali pandang
dia umpama meroyan
tidak kira apa jadi perhatian
pasti dimiliki apa jua keadaan
menggendong anak ke hulu ke hilir
tanpa menghiraukan situasi realiti
dibelai diusap tak berbelah bahagi
anak ditenung bak milik hakiki.

11 September 2009

kegemaranku

TAT NENAS GULUNG

Bahan-bahan ( 150 Biji )
100 gm tepung gandum
100 gm tepung jagung
20 gm tepung Kastard
150 gm buttercup/planta
2 biji kuning telur
Sedikit Pewarna Kuning Telur & Esen Vanilla
Bahan untuk Intinya:
Sebiji nenas
gula secukupnya
Pewarna kuning

Cara-cara membuatnya;
Pukul Majerin dah Gula sampai keputihan. Masukkan Kuning telur, pewarna kuning dan sedikit esen Vanilla.Pukul sehingga sebati. Masukkan tepung Kastard, tepung jagung dan tepung gandum sedikit demi sedikit. Uli perlahan dengan tangan hingga sebati.
*Jika adunan terlalu lembut dan melekit , tambahkan sedikit tepung gandum.

*Jika adunan terlalu keras tambahkan lagi butter semasa menguli sehingga adunan betul2 lembut. Setelah siap adunan, gelekkan adunan sehingga rata dan gelek menggunakan pengelek tart untuk mendapatkan corak berbelang. Potong mengikut panjang dan lebar yang disukai.
Letakkan sedikit jem nenas dan gulung. Sapukan bahagian atas Tart Nenas dengan kuning telur yang telah dicampur dengan pewarna kuning. Bakar selamat 15-20 minit pada suhu 150 C.
*Untuk jem, nenas yang diparut dimasak bersama gula dan ditambah pewarna kuning. Masak sehingga nenas kering dan tidak berair.

Alhamdulillah.... Aku baru saja lepas berbuka puasa:-)
Ermm... Memori yang terlakar untuk hari ialah aku pergi ke kelas seperti biasa iaitu kelas tutorial dan kelas ganti bagi subjek Sastera Hikayat. Aku agak rushing hari ini kerana baru selesai menyiapkan assigment untuk hikayat. Lega rasanya. Aktiviti aku pada hari ini aku pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku2 antropologi bagi subjek pilihan bebas. Selepas kelas aku balik ke kolej dan terus membeli juadah bagi berbuka nanti. Selepas aku berjaya mendaki tangga kolej Pendeta Za'ba yang paling curam itu, aku dapat merasakan seperti aku sedang mendaki Gunung Ledang. Pendakian itu seperti peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Tun Mamat bagi pihak Sultan Mahmud. Sebelum aku sampai ke blok kediaman aku terlihat kelibat beberapa ekor monyet sedang bergayut di pokok berhampiran. Aku menjadi kaku. Perasaan ku pada masa itu bercampur-baur antara takut dan bimbang. Apa tidaknya, takut kalau-kalau aku diragut monyet. Kebetulan pada masa itu aku membawa makanan. Tentunya monyet suka.
Lebih kurang 45minit aku menunggu monyet2 itu beredar dari laluan ke blok kediaman. Dalam penantian itu, sempat aku berfikir. Monyet2 itu sememangnya berani menghadapi manusia sedangkan mereka sepatutnya takut. Perkara sebaliknya pula telah berlaku kepada aku. Aku bagaikan trauma kerana pernah beberapa kali dikejar monyet. Takut. Itulah ungkapan yang wajar diluahkan. Tingkah laku monyet yang berani berhadapan dengan manusia mengimbau kembali ingatan aku kepada kisah Hang Tuah. Beliau sangat disanjungi kerana perwatakannya yang berani menentang musuh sejak kecil lagi. Keberaniannya amat dikagumi pelbagai pihak. Kalaulah Hang Tuah itu wujud...............

06 September 2009


Petang semalam, aku keluar bersama teman untuk berbuka puasa. Jalan sesak sekali. Aku melihat banyak kereta yang beransur-ansur keluar dari pusat bandar. Ada kalanya aku tertanya-tanya beginikah kehidupan di bandar? Jalan-jalan penuh sesak dengan kenderaan, udara yang tidak segar kerana dicemari asap-asap kenderaan bermotor. Situasi seumpama ini berbeza dengan tempat asalku. Namun, keadaan ini sudah ku biasakan. Aku dan teman singgah ke bazaar Ramadhan yang berhampiran. Begitu ramai sekali orang yang berpusu-pusu ke sana. Al-maklumlah, waktu berbuka sudah merangkak tiba. Banyak gerai yang terdapat di sana dan banyak juga makanan yang tersedia untuk dijual. Selepas membeli makanan yang dikehendaki, aku dan teman memulakan perjalanan untuk mencari tempat bagi berbuka puasa.
Tempat yang ditujui ialah Putrajaya. Indah sungguh pemandangan di sana di kala senja. Di hadapan tasik buatan itu terlihat sebuah bot feri yang membawa pelancong barangkali melewati setiap penjuru di tasik berkenaan. Ketenangan dapatku rasakan setelah pandangan tertumpu kepada sekumpulan burung yang terbang di permukaan tasik, kemudiannya singgah di sepohon pokok. Pada ketika itu, kelihatan matahari mula menyembunyikan diri di sebalik bangunan-bangunan. Angin bayu membelai-belai tubuhku yang kaku berdiri menikmati ketenangan itu. Alangkah menakjubkan ciptaan Tuhan.
Setelah selesai berbuka puasa, kami menuju pulang. Aku menikmati pemandangan sekeliling. Tiba-tiba ada sesuatu yang mencuri tumpuanku. Aku memerhatikan seseorang dari jauh. Gaya berjalan dan cara berpakaiannya membuatkan aku terkesima seketika. Pada masa itu, aku dan teman berada di dataran masjid Putrajaya. Pabila kenderaan semakin menghampiri lelaki terbabit, aku melihat lagaknya umpama Hang Tuah di zaman kesultanan Melayu Melaka. Dengan kekacakkannya, berbaju Melayu, bersongkok dan bersampin. Wahh.... terpegun aku memandangnya. Aku tersenyum sendiri. Lelaki itu menuju masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat tarawikh. Sebenarnya, aku sangat suka melihat lelaki memakai baju Melayu. Bagi aku, mereka yang memakainya akan nampak lebih segak dan tampan serta menyerlahkan ciri-ciri kemelayuan itu sendiri. Aku juga membayangkan sekiranya Hang Tuah itu masih wujud tentunya semangat kepahlawanan dan ciri kemelayuannya itu akan menjadi benteng kepada kebobrokkan Melayu pada masa kini.

04 September 2009


Hari ini aku ke kelas seawal jam 9.30 pagi kerana ada tutorial. Apabila sampai aku tertanya-tanya sama ada kelas itu ada atau tidak? Hal ini kerana tiada kelibat seorg pun yg aku nampak di luar kelas berkenaan. Aku bingung seketika. Adakah aku yang terawal? Mungkin juga. Tapi tidak mengapa sekiranya kita terlebih dahulu sampai ke kelas sebelum orang lain. Hemmm... setelah selesai kelas itu, aku terus pergi ke perpustakaan. Aku pergi ke bahagian Koleksi Asia Tenggara (KAT) yang banyak buku tentang Hikayat Hang Tuah. Tebal juga buku-buku itu. Bahasa klasik kebanyakkannya. Terus terang aku membuat pengakuan bahawa aku tidak begitu memahami bahasa klasik tersebut. Dulu aku pernah membaca Sejarah Melayu Sulalatus Salatin masa di Tingkatan Enam. Memang memeningkan. Tetapi apabila Dr. Mawar memberikan cabaran supaya menghasilkan sebuah cerpen mengenai Hang Tuah, aku perlu menangkis rasa susah untuk membaca hikayat tersebut. Aku perlu yakin pada diri sendiri. Sekarang aku masih dalam proses pembacaan hikayat tersebut walaupun realitinya aku mempunyai banyak assigment yang belum diselesaikan lagi....huurrmmmm

02 September 2009

Berdasarkan Hikayat Hang Tuah tersebut, semua pelajar Penulisan Kreatif perlu membuat semacam diari harian yang berhubung kait dengan Hang Tuah. Hal sedemikian merupakan suatu cabaran yang perlu kami tempuhi bagi memungkinkan watak Hang Tuah itu wujud dalam dunia serba moden ini. Bagaimana caranya ye??? Sama-sama kita fikirkan....
Bismillahirahmanirahim..... Alhamdulillah dengan berkat dan izinNya dapat juga saya mewujudkan laman blog ini untuk diri sendiri dan SKMM2083 iaitu Penulisan Kreatif yang diterajui oleh Dr. Mawar Shafie. Pada mulanya saya sudah membuat blog untuk subjek tersebut tetapi disebabkan ada masalah yang tidak dapat saya elakkan terpaksalah saya membuatnya kembali dengan menggunakan alamat email yang baru. Apa yang saya lalui itu sebagai suatu dugaan di bulan Ramadhan ini dan ianya banyak menguji tahap kesabaran. Namun, saya tetap bersyukur dengan hasil kerja saya sehingga dapat mewujudkan blog seumpama ini walaupun saya menyedari ianya masih mempunyai kelemahannya. Diharapkan supaya sesiapa yang melayari laman blog ini akan dapat memberikan komen yang membina kepada saya:-) Bak kata pantun Melayu;

"Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan."

Followers