06 September 2009


Petang semalam, aku keluar bersama teman untuk berbuka puasa. Jalan sesak sekali. Aku melihat banyak kereta yang beransur-ansur keluar dari pusat bandar. Ada kalanya aku tertanya-tanya beginikah kehidupan di bandar? Jalan-jalan penuh sesak dengan kenderaan, udara yang tidak segar kerana dicemari asap-asap kenderaan bermotor. Situasi seumpama ini berbeza dengan tempat asalku. Namun, keadaan ini sudah ku biasakan. Aku dan teman singgah ke bazaar Ramadhan yang berhampiran. Begitu ramai sekali orang yang berpusu-pusu ke sana. Al-maklumlah, waktu berbuka sudah merangkak tiba. Banyak gerai yang terdapat di sana dan banyak juga makanan yang tersedia untuk dijual. Selepas membeli makanan yang dikehendaki, aku dan teman memulakan perjalanan untuk mencari tempat bagi berbuka puasa.
Tempat yang ditujui ialah Putrajaya. Indah sungguh pemandangan di sana di kala senja. Di hadapan tasik buatan itu terlihat sebuah bot feri yang membawa pelancong barangkali melewati setiap penjuru di tasik berkenaan. Ketenangan dapatku rasakan setelah pandangan tertumpu kepada sekumpulan burung yang terbang di permukaan tasik, kemudiannya singgah di sepohon pokok. Pada ketika itu, kelihatan matahari mula menyembunyikan diri di sebalik bangunan-bangunan. Angin bayu membelai-belai tubuhku yang kaku berdiri menikmati ketenangan itu. Alangkah menakjubkan ciptaan Tuhan.
Setelah selesai berbuka puasa, kami menuju pulang. Aku menikmati pemandangan sekeliling. Tiba-tiba ada sesuatu yang mencuri tumpuanku. Aku memerhatikan seseorang dari jauh. Gaya berjalan dan cara berpakaiannya membuatkan aku terkesima seketika. Pada masa itu, aku dan teman berada di dataran masjid Putrajaya. Pabila kenderaan semakin menghampiri lelaki terbabit, aku melihat lagaknya umpama Hang Tuah di zaman kesultanan Melayu Melaka. Dengan kekacakkannya, berbaju Melayu, bersongkok dan bersampin. Wahh.... terpegun aku memandangnya. Aku tersenyum sendiri. Lelaki itu menuju masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat tarawikh. Sebenarnya, aku sangat suka melihat lelaki memakai baju Melayu. Bagi aku, mereka yang memakainya akan nampak lebih segak dan tampan serta menyerlahkan ciri-ciri kemelayuan itu sendiri. Aku juga membayangkan sekiranya Hang Tuah itu masih wujud tentunya semangat kepahlawanan dan ciri kemelayuannya itu akan menjadi benteng kepada kebobrokkan Melayu pada masa kini.

No comments:

Post a Comment

Followers